Sebentar tadi saya menerima email dari seorang pengunjung Saifulislam.Com.
Katanya:
Ustaz, saya menerima email di bawah dr kawan2 yg mengatakan Zulaikha bukan orang baik n dia adalah adulter, seorang isteri Al-Aziz yg curang kepada suaminya. Saya secara jujur berasa tidak senang dgn tuduhan ini sekalipun memang, seperti yg dinukilkan AQ beliau pernah berniat utk curang terhadap suaminya. Saya bukan nak membela dia, tapi saya merasa gundah kerana setiap org perempuan pada zaman ini rasanya tak berhak mengutuk dia kerana semua dr perempuan hari in tak merasa pesona hensemnya Yusuf yg sampai boleh menggelincirkan iman Zulaikha even pada niat sahaja. Tapi diterima kemudiannya menjadi isteri seorang Nabi cukup utk mengatakan die pasti lebih baik dr kebanyakan mukminah hari ini setelah dia bertaubat. Wallahua’lam. Ustaz, tolong clarifykan…
owhhh… gitu rupa2nya..
so, historically zulaikha is not really a good name laa kan. it’s a name of an adulterer.
Email yang diterima oleh beliau, adalah artikel yang disiarkan di inspigoblog.wordpress.com.
Berikut adalah jawapan saya kepada email tersebut:
Assalamualaikum WBT.
Segala masalah bermula, apabila kita tidak merujuk kepada sumber yang betul dalam memahami kisah Yusuf alayhi al-Salam. Sepatutnya kita kena disiplinkan diri dengan merujuk hanya kepada sumber-sumber yang sahih. Dan untuk kisah Yusuf, tidak lain dan tidak bukan adalah surah Yusuf sendiri dan sejumlah kecil hadith Nabi SAW yang sahih, berkaitan dengannya.
Perempuan yang kita namakan dirinya sebagai Zulaikha itu, hanya disebut oleh al-Quran sebagai imra’ah al-aziz (isteri kepada al-aziz i.e isteri kepada menteri utama). Nama Zulaikha itu tidak disebut oleh al-Quran mahu pun hadith-hadith yang sahih. Dari mana datang nama Zulaikha itu? Ia mungkin datang dari sumber Israiliyyat, biblical literature yang tidak perlu menjadi rujukan dan ambilan kita.
Itu soal nama.
Soal peribadinya, apa yang disebut di dalam Surah Yusuf ayat 20′an tentang watak perempuan itu memang benar. Dia adalah wanita bangsawan yang sangat buruk akhlaknya, bahkan bukan dirinya sendirian, malah wanita-wanita bangsawan yang lain juga berkongsi kejahatan yang sama. Allah bukan hanya menonjolkan kejelekan watak imra’ah al-’aziz semata-mata, malah keburukan budaya golongan bangsawan itu sendiri.
Tetapi kita kena ingat, apabila al-Quran menceritakan tentang keburukan perempuan ini, cerita itu ada tujuan dan maksud.
Pertamanya, Allah telah menunjukkan kelemahan suaminya sebagai pemimpin tertinggi Mesir, tetapi dayus hingga tidak mampu mengawal tingkah laku isterinya sendiri. Ada banyak teladan di sini terhadap kualiti kepimpinan yang boleh kita perhatikan. Mampukah lelaki yang gagal mengawal isteri, mengawal sebuah negeri?
Harus juga diingat, perempuan itu adalah isteri al-aziz yang merupakah pegawai tertinggi di dalam kerajaan pemerintah Mesir. Akan tetapi di sisi al-aziz ada Raja yang menjadi tunggak negara. Raja ini kelihatannya tidak terbabit di dalam konspirasi memenjarakan Yusuf, bahkan beliau bertindak membuka kembali kes Yusuf selepas 3 hingga 9 tahun Yusuf dipenjarakan sebagaimana keterangan ayat 50 Surah Yusuf, serta ayat-ayat sebelumnya.
Raja ini bukan Firaun, watak pemerintah Mesir di era Musa kemudiannya.
Keduanya, Allah SWT juga mahu menunjukkan ketinggian keperibadian Yusuf yang memilih penjara, berbanding tunduk kepada kehendak perempuan itu (Zulaikha) dan ‘datin-datin’ yang bersama dengannya. Pendirian Yusuf ini mempunyai hikmah yang besar, malah turut memberikan impak kepada wanita-wanita bangsawan itu yang kemudiannya diceritakan Allah di ayat 51 hingga 53 Surah Yusuf. Inilah kekuatan TINDAKAN berbanding PERCAKAPAN. Ia juga mengajar kita mempositifkan musibah yang menimpa diri, bahawa ujian Allah datang dengan hikmah dan kebaikan. Kitalah yang mesti bijak mencarinya.
Ketiga, Allah SWT juga mahu menunjukkan bagaimana manusia itu biar sejahat mana pun dia, harapan untuknya berubah tetap ada. Ketegasan Yusuf mempertahankan diri dari tunduk kepada kehendak perempuan itu telah menyebabkan dirinya berfikir panjang, melakukan muhasabah diri dan akhirnya bertaubat, hingga mengakui kesalahan-kesalahannya, membersihkan nama Yusuf dan memohon ampun dari Allah.
Semuanya dikisahkan di dalam ayat 51 hingga 53 Surah Yusuf.
Kelihatannya di dalam ayat itu, Allah SWT telah memberi hidayat dan mengampunkan perempuan berkenaan (Zulaikha). Seandainya dia telah bertaubat, dan Allah telah mengampunkan kesalahannya yang lalu, siapa pula kita untuk terus mencela si ‘Zulaikha’ dengan mengungkit-ungkit kesalahannya hingga digelar perempuan pelacur, jalang dan sebagainya. Apakah kita mahu melampaui keputusan Allah?
Janganlah dalam usaha kita membetulkan kesilapan, kita buat kesilapan yang lebih besar. Jangan ulangi apa yang telah dilakukan oleh Ibrahim Ali Sya’wat di dalam bukunya, Abatil Yajib an Tumha min al-Tarikh. Tatkala mahu membersihkan sejarah Islam dari kesalahan fakta, kesalahan lain pula yang dilakukannya [kritikan mengenainya boleh dibaca di sini]
Pengajarannya juga ialah, di dalam kehidupan seharian kita, jangan kita bermudah-mudah mengungkit kesalahan orang lain. Ketika mana dirinya mungkin sudah bertaubat dan diampunkan Allah, kita pula mahu membuka semula kes tersebut dan membuat pengadilan sendiri. Tercelalah manusia seperti ini yang menganggap kotor manusia yang telah dibersihkan Allah.
Ingatlah, memanggil penzina yang telah bertaubat dan dihudud dengan gelaran “hoi penzina!”, adalah kesalahan jenayah yang juga diperuntukkan Syara’ hukuman ke atasnya.
MASALAH DOA PENGANTIN “YUSUF DAN ZULAIKHA”
Masalah doa Yusuf dan ‘Zulaikha’ itu tidak boleh kita justifikasikan sebab tiada keterangan al-Quran mahu pun Hadith Nabi SAW bahawa Yusuf berkahwin dengan ‘Zulaikha’.
Kisah cinta romantis mereka berdua, kuatnya ibadah Zulaikha hingga hilang penglihatan disebabkan oleh banyaknya tangisan dia kerana takutnya diri kepada Allah dan yang seumpama dengannya, adalah drama yang mungkin penuh emosi, tetapi hakikatnya ia sebuah persembahan yang tiada asal usul.
Selepas ayat 53 Surah Yusuf, Allah SWT tidak ada lagi menerengkan apa-apa tentang ‘Zulaikha’. Begitu juga dengan hadith-hadith Nabi SAW yang sahih. Kisah imra’ah al-’aziz (Zulaikha) itu tamat dengan pengakuannya di hadapan raja, untuk membersihkan maruah Yusuf dari pertuduhan yang selama ini menjadi punca Nabi Allah itu dipenjarakan.
HAKIKATNYA
Surah Yusuf adalah rakaman kisah perjuangan seorang rasul bernama Yusuf, dan bukannya epilog cinta romantis sang merpati yang disandingkan dalam angan-angan kita sebagai Yusuf dan Zulaikha!
Habis, dari manakah datangnya kisah cinta Yusuf dan ‘Zulaikha’ itu? Dari mana datangnya doa pengantin itu? Dari mana datangnya lirik nasyid dan syair yang memuji cinta itu?
Saya tiada jawapan mengenainya, tetapi kepada yang menceritakannya, tanyalah kepada dia Min aina laka hadza (Dari mana kamu dapat benda ni?)
Wallahu A’lam.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
Labels: HuBaiB