Pernahkah kita terperangkap dengan masalah atau musibah dalam kehidupan seharian..? Demam, pening, dipulau rakan, terasa hati, masalah keluarga, dan sebagainya.
Sebagai contoh, situasi terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di mana banyak kenderaan terpaksa merangkak perlahan dalam keadaan cuaca yang panas terik, atau rebut petir menggila. Situasi ini acap kali terjadi di kawasan pusat bandar. Sudah pasti kejadian ini banyak menduga kesabaran kita.
Peristiwa di atas adalah satu contoh daripada bermacam-macam jenis ujian atau musibah Allah SWT kepada kita di dunia ini. Ujian datang dalam pelbagai bentuk seperti ditimpa musibah bencana, kehilangan orang yang disayangi (Al-Fatihah buat mereka), kehilangan harta benda, beban kerja yang tidak pernah surut, masalah kesihatan,serta tidak ketinggalan masalah kewangan. Ujian seumpama ini sebenarnya bertujuan mengukur sejauh mana ketenangan jiwa kita dalam menghadapi cabaran dan masalah yang tidak pernah dijangka kehadirannya.
Ketenangan jiwa adalah kemampuan yang tinggi untuk mengawal emosi diri semasa menghadapi sebarang bentuk tekanan atau masalah. Segala masalah akan dapat dikendalikan dengan baik, penuh kesabaran, berhikmah serta diselesaikan satu persatu. Individu atau muslim yang mempunyai kualiti emosi yang baik tidak mudah menggelabah, berasa cepat putus asa, resah, marah dan bimbang ketika berhadapan dengan masalah. Masalah yang datang adalah peluang kepada dirinya untuk mengukur tahap kekuatan dan ketenangan jiwa selain mempertingkatkan lagi keimanannya kepada Maha Pencipta.
Ketenangan jiwa boleh diperoleh oleh sesiapa sahaja asalkan fikiran dan hatinya sentiasa mengingati Allah SWT. Mengingati Allah SWT dalam apa jua keadaan adalah sumber ketenteraman hati dan ketenangan jiwa. Allah berfirman, “Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang”.
Manakala dalam ayat 28 surah ar-Raad, Allah berfirman, “Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia”.
Sebenarnya proses untuk memelihara fikiran dan hati tidak memerlukan peralatan canggih serta kos yang mahal. Antara aktiviti yang perlu dilakukan adalah rajin dan patuh dalam mengerjakan ibadah fardhu dan ibadah sunat secara istiQamah dan sistematik pada bila-bila masa. Manakala masa lapang yang terluang digunakan sebaiknya menelaah Al-Qur’an, membaca dan menghafaz hadith, mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu fardu kifayah yang lain, serta mengamalkan zikrullah. Biarlah tak pernah lekang dari bibirmu mujahidah..!!
Amalan-amalan seperti solat,berpuasa, mempelajari ilmu agama, ilmu pengetahuan am, zikir akan dapat member input kapada minda, hati, rohani mahupun jasmani kita. Ayuh bangkit sahabat-sahabatku..!! Perjalanan kita ini masih jauh, destinasinya cuma satu, akhirat yang abadi. Semoga kita semua dapat bersatu, dan dirahmati dalam syurga-Nya, ameen.
Dalam organisasi pekerjaan, pendidikan dan sebagainya, pencapaian seseorang kakitangan atau pelajar adalah kualiti kerja atau pencapaian yang memuaskan hati diri sendiri, pelanggan, menepati kehendak pelbagai pihak serta menggunakan sumber yang terhad dengan cekap dan maksimum. Minimakan input, maksimakan output..!! (n_n)/
Hasil yang sama juga dituntut dalam pengurusan ukhrawi di mana hamba-Nya perlu sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti amal ibadahnya pada setiap masa. Hasil kerja yang berkualiti ialah kemampuan hamba-Nya meningkatkan ketaQwaan kepada Allah SWT dan konsisten sehingga akhir hayatnya.
Firman Allah: ”Katakanlah (wahai Muhammad) tiap-tiap seseorang beramal menurut pembawaan jiwanya sendiri; maka Tuhan kamu lebih Mengetahui siapakah (di antara kamu) yang lebih betul jalannya”. (Surah al-Isra’:84)
Kesimpulannya, ketenangan jiwa yang diperolehi dengan menghambakan diri dan mengingati Allah SWT adalah nadi utama yang akan melahirkan insan yang berkualiti dalam menjalankan tugasan duniawi dan ukhrawinya.
“Dan balasannya sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dan barangsiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.” (As-Syuura:40)
Wallahu’alam...
Labels: Akhlaqul Karimah