Saudari, kamu cantik sekali...
Tapi hanya di mata manusia. Sedangkan yang Maha Kuasa tak pernah
memandang rupa atau pun bentuk tubuh kita. Namun Dia melihat pada hati
dan amal-amal yang dilakukan hamba-Nya.
Saudari, kamu cantik sekali...
Tapi cantik luaran tak akan pernah abadi. Saat ini kita boleh berbangga
dengan kemolekan wajah ataupun bentuk tubuh. Namun beberapa waktu nanti,
saat wajah telah keriput, rambut pun kusut dan berubah warna putih,
tubuh tak lagi tegap, membongkok dimakan usia, tak akan ada lagi yang
boleh dibanggakan. Lebih-lebih jika telah memasuki liang lahad, tentu
tiada manusia yang mahu mendekat.
Saudari, kamu cantik sekali...
Tapi kecantikan hanyalah pemberian dan untuk apa dibangga-banggakan?
Sesungguhnya kecantikan patut disyukuri dengan cara yang baik.
Mensyukuri kecantikan bukanlah dengan cara mempamerkan gambar atau
membandingkan rupa, sedangkan hakikatnya wajah itu bukan milik kita.
Tidakkah engkau rimas bila banyak mata lelaki yang memandang
berhari-hari? Tidakkah engkau malu ketika wajahmu dinikmati tanpa
kebenaran engkau sendiri yang menayang gambar. Ataukah rasa malu itu
telah punah musnah? Betapa sayangnya jika demikian sedangkan ia
sebahagian dari keimanan.
Saudari, kamu cantik sekali...
Tapi apa manfaat pujian dan kekaguman seseorang? Adakah ia akan menambah
pahala dari-Nya? Adakah darjatmu akan meninggi di sisi Ilahi setelah
dipuji? Tiada yang menjamin wahai ukhti. Mungkin malah sebaliknya, wajah
cantik itu menjadikanmu tiada harga di hadapan-Nya, kerana kamu tak
mampu memelihara sesuai dengan ketentuan-Nya.
Saudari, kamu cantik sekali...
Kecantikan itu harta berharga bukan barang murah yang boleh dinikmati
dengan mudah. Dimana nilainya jika setiap mata begitu leluasa memandang
cantiknya rupa. Dimana harganya dan kehormatan sebagai hamba Tuhan jika
setiap orang, baik ia seorang kafir, musyrik atau munafik begitu mudah
menikmati wajah para muslimah?
Saudari, kamu cantik sekali...
Alangkah indah jika kecantikan luaran itu dipadu dengan kecantikan
hatimu. Apalah erti cantik rupawan bila tak memiliki keimanan. Apalah
guna tubuh molek memikat bila tiada rasa malu yang lekat. Cantikkan
dirimu dengan cahayaNya. Cahaya yang bersinar dari hati benderang penuh
keimanan. Hati yang taat sentiasa patuh pada syariat. Hati yang taqwa,
yang selalu menjalankan perintah dan menjauhi larangan-Nya. Hati yang
sederhana, yang tak berlebihan dalam segala urusan dunia.
Maka tampillah cantik di hadapan Penciptamu kerana itu lebih bererti
daripada menampilkan kecantikan pada manusia yang bukan muhrimmu.
Tampillah cantik di hadapan suamimu, kerana itu adalah sebahagian dari
jihadmu. Mengabdi pada manusia yang kamu kasihi demi keredhaan Ilahi.
Tampillah cantik, cantik iman, cantik batin, cantik hati, kerana itu lebih abadi.