~ Keutamaan Lailatul-Qadr ~

 

Malam al-Qadr adalah malam yang paling utama sepanjang tahun, berdasarkan firman ALLAH Ta’ala, ertinya: 

 

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada Lailatul-Qadr.  Tahukah kamu apakah Lailatul Qadr?  Lailatul-Qadr lebih baik dari seribu bulan.” (Surah al-Qadr: 1-3)

 

Maksudnya, beramal pada malam tersebut seperti solat, dzikir dan membaca al-Quran lebih utama dari amalan selama seribu bulan yang tidak mempunyai Lailatul-Qadr.

 

Sunnat Mengintai Lailatul-Qadr

Disunnatkan mencari lailatul-Qadr itu pada malam-malam yang ganjil dari sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan.  Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam amat giat mencari saat itu pada sepuluh hari yang terakhir.

 

Dari Aisyah radhiAllahu ‘anhu berkata:  “Bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam apabila telah masuk sepuluh terakhir dari bulan Ramadhan, diramaikannya waktu malam, dibangunkannya keluarganya dan diikat eratnya kain sarungnya.”  (HR Bukhari & Muslim)

 

Di Malam Mana Berlakunya Lailatul-Qadr?

Ada beberapa pendapat dari para ulama dalam menentukan malam yang mulai ini.

 

Di antara mereka ada yang mengatakan bahawa ia adalah malam kedua puluh satu, ada pula yang mengatakan bahawa ia adalah malam kedua puluh tiga, ada yang berpendapat malam kedua puluh lima, dan ada yang berkata ia berlaku pada malam kedua puluh sembilan, serta ada yang mengatakan bahawa ia berpindah-pindah pada malam-malam yang ganjil dari sepuluh hari yang terakhir.

 

Tetapi kebanyakan mereka berpendapat bahawa jatuhnya Lailatul-Qadr ialah pada malam kedua puluh tujuh.

 

Diriwayatkan oleh Ahmad dengan isnad yang sah dari Ibnu Umar radhiAllahu ‘anhu katanya telah bersabda Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam:  “Barangsiapa mencarinya, hendaklah dicarinya pada malam kedua puluh tujuh!”

 

Namun, dinasihatkan kepada semua jangan hanya menumpukan kepada satu-satu malam sahaja beribadah.  Hendaklah berterusan ibadah kepada ALLAH setiap hari, dan diberi penumpuan yang lebih kepada 10 hari terakhir Ramadhan.

 

Beribadah dan Berdoa Pada Lailatul-Qadr

 

Diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

 

“Barangsiapa yang beribadah pada malam al-Qadr kerana iman dan mengharapkan keridhaan ALLAH, diampunilah dosa-dosanya yang terdahulu.”

 

Diriwayatkan dari Aisyah radhiAllahu ‘anha oleh Ahmad, Ibnu Majah dan juga Turmudzi yang menyatakan sahnya, katanya:  “Saya bertanya, “Ya Rasulullah, bagaimana pendapat anda seandainya saya tahu malamjatuhnya Lailatul-Qadr itu, apakah yang harus saya ucapkan ketika itu?”  Maka ujar Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam:  “Katakanlah: 

 

 

“Ya ALLAH, sesungguhnya ENGKAU maha Pemaaf dan suka memaafkan, maka maafkanlah daku ini.”

 

Tulisan di atas telah saya salin dari kitab Feqh as-Sunnah susunan Sheikh Sayyid Sabiq dari bab puasa.  Semoga kita semua dapat memanfaatkan perkongsian ini, insyaALLAH.

 

Mudah-mudahan kita semua memperolehi TAQWA, ameen…

 

www.muzir.wordpress.com

0 Comments:

Post a Comment



~ C.i.N.t.a...c.U.m.A...B.u.A.t..-.N.y.A ~

~ C.i.N.t.a...c.U.m.A...B.u.A.t..-.N.y.A ~

~ f0fuLaR ke ~

Blogger Template by Blogcrowds