~jaGaLaH haTi.. jGn kaU k0t0ri..~

Salam sejahtera dilimpahi kasih sayang Ilahi,
Istimewa untuk puteri-puteri harapan!

Terbentang di hadapan kalian perjalanan hidup insan. Kebanyakan orang dilanda keluh-kesah, kesempitan dan kegoncangan jiwa. Merasa sepi dan tiada keyakinan diri. Hidup mereka hambar dan kosong walaupun dilingkungi kelazatan dan kemewahan. Hanya hamba-hamba Allah yang bertaqwa dan teguh iman sentiasa tabah sewaktu orang lain mengalami kegoncangan jiwa. Mereka penuh yakin pada waktu orang lain berserabut dengan berbagai-bagai keraguan. Mereka mampu bersabar dan berlapang dada ketika orang lain keluh-kesah dan buntu fikiran. Ini disebabkan orang-orang beriman menempuh jalan hidup yang bertepatan fitrah kemanusiaan dan syariat Islam. Renungi maksud firman Allah dalam surah Ar-Ruum ayat 30,

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah, tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”




Anak-anakku yang gigih memperteguhkan iman!
Ketahuilah untuk kita kembali kepada tabii dan fitrah pencintaan insan juga untuk sentiasa merasai ketenangan di hati, kita perlukan hati yang sihat sejahtera dan terpelihara dari unsur negatif. Ini mengambil kira kesejahteraan diri kita bergantung rapat dengan keadaan hati itu sendiri. Terpelihara baik dan sihat hati(kalbu) dan juga organ hati itu sendiri, maka akan sihat sejahteralah keseluruhan jasad. Dari itu sewajarnya kita memastikan hati kita benar-benar terpelihara keadaannya. Bagaimana hal ini dapat direalisasikan?...

Mari kita teliti dan hayati;
Perihal hati menurut Ibnu Qayyim,
Di dalam hati manusia terdapat kekuatan – tidak terurai kecuali menerima kehendak Allah.
Di dalam hati terdapat keganasan – tidak hilang kecuali berjinak dengan Allah.
Di dalam hati terdapat kesedihan – terlerai dengan menyukai Allah dan berhubung baik dengan-Nya.
Di dalam hati terdapat kegelisahan – tenang dan damai jika berjumpa dengan-Nya dan berlari mendapatkan-Nya.
Di dalam hati terdapat api penyesalan – terpadam dengan redha pada suruhan, larangan, qada’ dan sentiasa sabar sehingga menemui-Nya.
Di dalam hati terdapat hajat – tidak terbendung kecuali dengan kecintaan kepada Allah SWT, memohon kepada-Nya, ikhlas dan sentiasa dalam berzikir.

Puteri-puteri harapan sedarilah!
Seiring dengan usaha kalian membina kekuatan iman bersulam taqwa, wujud pula penghasut paling bahaya iaitu syaitan! Ia tidak pernah berputus asa membisikkan keraguan ke dalam hati kita. Di samping mengaburi mata kita dengan perdayaannya. Berhubung rapat hal ini, perlu kita kenal pasti laluan syaitan ketika memperdayakan pegangan dan keyakinan kita. Apabila kita amati puncanya, dapatlah diketahui, hasutan syaitan itu banyak menyusup melalui pandangan dan renungan mata.

Anak-anakku sedarilah dan ingatlah selalu!
Sesungguhnya pengaruh penglihatan itu sangat kuat. Ia dikaitkan dengan desakan nafsu. Lantaran itu Rasulullah SAW mengumpamakan pandangan mata seperti anak panah beracun iblis untuk menggoda manusia. Setiap masa pandangan mata mesti dijaga. Sama ada terhadap mereka yang menutup aurat maupun yang tidak menutup aurat.

Telah berlaku di zaman Rasulullah SAW, ketika Al-Fadhl bin Abas r.a menunggang unta Rasulullah dalam perjalanan dari Muzdhalifah ke Mina, mereka bertembung dengan beberapa wanita yang menaiki unta. Al-Fadhl memandang ke arah wanita itu lalu Rasulullah memegang kepala Al-Fadhl dan memalingkannya kearah lain. Begitu sekali larangan yang Rasulullah maksudkan. Jika pandangan itu dibolehkan tanpa batasan, sudah tentu Rasulullah biarkan saja perlakuan Al-Fadhl.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda kepada Saydina Ali,
“Wahai Ali, janganlah engkau susuli satu pandangan dengan satu pandangan lagi, kerana yang pertama menjadi bahagianmu dan yang kedua bukan lagi menjadi bahagianmu (dosa atasmu).” (HR Ahmad, Al-Tirmidzi dan Abu Daud)

Ingatlah selalu,
Jika mata sentiasa dikawal, sudah tentu hati akan jadi tenang. Mudahlah melaksanakan ketaatan dan beribadah kepada Allah. Sebaliknya, mata yang dibiarkan itu akan mengotori jiwa dan merosakkan hati hingga menjerumuskan kepada kemungkaran. Urusan mengawal pandangan ini tidak hanya di kalangan lelaki sahaja. Dituntut sama sahaja buat perempuan juga. Malahan perlu berlaku kerjasama kedua-dua pihak. Tidak satu pihak menjaga tata tusila, sedangkan satu pihak lagi menggoda. Perkara ini mesti diberi perhatian serius.

Ibnu Abas pernah berkata,
“Kedudukan syaitan dalam diri orang laki-laki itu ada tiga tempat iaitu, pada pandangannya, pada hatinya dan pada ingatannya. Manakala kedudukan syaitan dalam diri wanita juga ada tiga iaitu pada lirikan matanya, pada hatinya dan pada kelemahannya.”

Rasulullah SAW ketika ditanya mengenai pandangan yang tidak disengajakan atau secara tiba-tiba, baginda memerintahkan supaya mengalih pandangan dan mengelak daripada mengulanginya lagi. Kesan pandangan kedua akan lebih buruk kerana iblis mengambil kesempatan menambahkan racun hasutannya.

Rasulullah SAW juga ada bersabda,
“Pandangan mata itu laksana anak panah iblis. Barang siapa menahan pandangannya dari keindahan wanita, maka Allah mewariskan kelazatan di dalam hatinya yang dia dapat rasakan hingga dia bertemu Allah.”

Jelingan dan kenyitan mata akan mempelawa hati mendorong perlakuan lebih berani. Berpegang tangan dan berdua-duaan di tempat terang dan juga sunyi boleh mengundang berlakunya maksiat. Sentiasalah memelihara diri kalian daripada melakukan perbuatan yang dimurkai Allah. Pastikan orang lain tidak menanggung dosa atau terdorong untuk turut melakukan dosa. Tepati maksud firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 2,
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa. Dan janganlah tolong menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertqwalah kamu kepada Allah sesungguhnya Allah sangat berat seksa-Nya.”

Puteri-puteri harapan yang setiasa membersihkan jiwa,
Dengan batas-batas pergaulan itu kita dapat mengawal diri daripada perlakuan yang memalukan dan membahayakan kehormatan. Pergaulan yang tidak dijaga akan menimbulkan fitnah seperti pandangan buruk dan rasa cemburu orang yang memandang. Kemesraan antara seorang lelaki dan wanita bukan muhrim akan diambil peluang oleh syaitan untuk menjerumuskan kalian kepada perbuatan sumbang.

Dari itu, ingatilah amaran Nabi Muhammad SAW kepada wanita dan lelaki bukan muhrim yang bergaul bebas. Jika berdua-duaan di tempat sunyi dan tersembunyi akan mengundang pihak ketiga iaitu syaitan. Di sini syaitan berpeluang membisikkan kata-kata jahat. Justeru Islam telah mengatur sebaik-baik batasan supaya jangan timbul bibit-bibit yang mendorong kepada perlakuan sumbang dan zina.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud,
“Sesungguhnya Allah telah menetapkan atas diri anak Adam bahagiannya dari zina. Dia mengetahui yang demikian itu dan tanpa dimungkiri:
Mata itu berupaya berzina dan zinanya adalah pandangan.
Lidah itu berupaya berzina dan zinanya adalah perkataan.
Kaki itu berupaya berzina dan zina adalah ayunan langkah.
Tangan itu mampu berzina dan zinanya adalah tangkapan keras.
Hati itu berupaya berkeinginan dan berangan-angan. Sedangkan kemaluan membenarkan atau mendustakan yang demikian itu.” (HR Al-Bukhari, Muslim, An-Nasa’i dan Abu Daud)

Waspadalah anak-anakku,
Tidak ada istilah “ringan-ringan” dalam soal dosa. Setiap perbuatan dosa adalah berat di sisi Allah. Dosa kecil yang diulang-ulang akan bertompok menjadi besar.
Untuk itu renungilah syair Arab ini:
Betapa buruk pemuda
yang memiliki pekerti mengorbankan adab
kerana nafsu sendiri,
kehinaan dituruti, padahal diri mengetahui
kehormatan tercemar
dan kehinaan disenangi.
Wahai kedua mata,
kau nikmati pandangan
lalu kau susupkan kepahitan ke dalam hati
hatilah yang memaksakan kehendaknya,
kerana hati dan mata tidak tunduk kepada Pencipta!

Puteri-puteri Harapan!
Sentiasalah waspada melaraskan hati kalian di landasan kebenaran. sesungguhnya hati yangn terpelihara dari menjurus kepada sebarang keburukan sentiasa mendorong pemiliknya kepada keredhaan Ilahi. Akhirnya layak beroleh kebahagiaan hakiki lagi abadi.

Wassalam.
Ummu Anas.

::http://www.haluan.org.my/v3/index.php/hati-terpelihara.html::

0 Comments:

Post a Comment



~ C.i.N.t.a...c.U.m.A...B.u.A.t..-.N.y.A ~

~ C.i.N.t.a...c.U.m.A...B.u.A.t..-.N.y.A ~

~ f0fuLaR ke ~

Blogger Template by Blogcrowds