~ Surah an-Nur perjelas hidup bermasyarakat ~



Oleh Prof Madya Maznah Daud


SURAH an-Nuur yang bererti cahaya, mengandungi 64 ayat, diturunkan di Madinah beberapa tahun selepas hijrah. Dalam surah ini terkandung ayat dan petunjuk Allah bagi manusia yang berhubung dengan hidup bermasyarakat, mahu pun berumah tangga. Semuanya, adalah cahaya yang menyinari kehidupan manusia dalam menempuh jalan menuju kebahagiaan dunia dan akhirat.

Allah memulakan surah ini dengan satu penegasan agak unik dan berbeza dengan surah lain. Firman-Nya bermaksud: “(Ini adalah) satu surah yang Kami turunkan dan Kami fardukan (menjalankan hukum yang ada dalam)nya, dan Kami turunkan dalamnya ayat yang jelas, agar kamu selalu mengingatinya.” (Surah an-Nur, ayat 1)

Secara jelas dan tegas apa yang terkandung dalam surah ini diturunkan oleh Allah dan diwajibkan ke atas semua umat Islam yang beriman kepadaNya dan ayatNya, supaya menerima dan melaksanakannya tanpa ragu-ragu atau berdolak dalik.

Penegasan seperti ini sangat penting. Ia adalah asas kukuh dalam hati setiap Muslim agar bersedia mendengar, menerima dan seterusnya melaksanakan apa saja yang tuntut oleh-Nya. Meragui dan mempersoalkan hukum atau peraturan Allah tidak wujud sama sekali dalam hati orang beriman. Ini sebagaimana dinyatakan dalam firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya jawapan orang mukmin, apabila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) antara mereka ialah ucapan: “Kami mendengar dan kami patuh. Dan mereka itulah orang yang beruntung.” (Surah an-Nuur, ayat 51)

Masyarakat adalah himpunan manusia daripada lelaki dan wanita. Mereka bukan saja saling memerlukan, malah difitrahkan mempunyai keinginan yang kuat terhadap satu sama lain. Bagi memenuhi keinginan semula jadi ini, Allah mensyariatkan perkahwinan dan menggesa pihak berkuasa dalam sesebuah masyarakat atau keluarga memberikan perhatian sewajarnya terhadap anggota yang belum berkahwin.

Firman Allah bermaksud: “Dan kahwinkanlah orang yang sendirian antara kamu dan orang yang layak (berkahwin) daripada hamba sahayamu yang lelaki dan hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nur, ayat 32)



Perkahwinan adalah satu-satunya jalan paling selamat dan terhormat bagi memenuhi keinginan semula jadi manusia. Keinginan seksual adalah wasilah atau jalan yang menghubungkan antara satu generasi dengan generasi sebelum dan selepasnya. Lantaran, ia tidak boleh dipadam atau diketepikan. Keinginan itu tidak boleh pula dibiar lepas bebas tanpa batasan. Ini kerana keadaan sedemikian bukan saja akan menjatuhkan martabat insan, malah boleh menghancurkan institusi keluarga dan masyarakat seluruhnya.

Ayat di atas ditujukan kepada ketua keluarga serta pihak yang berkuasa dalam sesebuah masyarakat. Mereka tidak sepatutnya mengabaikan anggota yang belum mempunyai pasangan hidup yang sah. Kemiskinan bukan suatu alasan untuk melambat-lambatkan urusan perkahwinan. Jalan mesti dicari. Penyelesaian mesti diusahakan. Allah sendiri memberi jaminan akan memudahkan rezeki orang yang ingin berkahwin (Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya).

Hubungan antara lelaki dengan perempuan yang lain daripada ikatan perkahwinan dibataskan dengan adab serta panduan tertentu. Ini supaya keutuhan keluarga yang dibina terpelihara, terselamat daripada fitnah dan noda serta terhindar daripada jerangkap syaitan durjana.

“Katakanlah kepada lelaki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.” (Surah an-Nur, ayat 30)

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka...” (Surah an-Nur, ayat 31)

Lelaki dan wanita tidak dihalang daripada membabitkan diri dalam masyarakat. Ini kerana mereka adalah sebahagian daripada masyarakat yang bertanggungjawab membangun, memaju dan memeliharanya daripada perkara yang boleh menjejaskan kesejahteraannya. Apa yang wajib dilakukan ialah memelihara tiga perkara iaitu menjaga mata, kemaluan dan aurat.

Hari ini, kesedaran memakai tudung di kalangan Muslimah laksana gelombang besar yang tidak mampu dibendung oleh sesiapa lagi. Memakai tudung saja tidak memadai. Mata hendaklah sentiasa dijaga kerana ia adalah penggoda yang amat berbisa. Apabila mata bertentang mata, hati mula berkata-kata, nafsu pun ikut bergelora, lantas iman terluntur dan iblis segera menjalankan peranan.

Tidak cukup juga dengan kaum wanita saja yang bertudung litup, menutup aurat dan menjaga maruah. Kaum lelaki juga seharusnya melakukan perkara sama. Kaum lelaki wajib juga mematuhi adab menundukkan pandangan dan kewajipan memelihara tiga perkara tadi. Ayat itu tidak hanya ditujukan kepada wanita, bahkan menjadi tanggungjawab lelaki dan wanita.

Kadang-kadang terdengar suara mengatakan menutup aurat juga tidak selamat. Mungkin ada benarnya luahan itu. Ini kerana menutup aurat mesti dilaksanakan secara bersepadu dengan memelihara pandangan serta aturan lain yang terkandung dalam surah ini. Ia tidak boleh diambil secara terpisah.

Perkara lain yang wajib dijauhi ialah memfitnah dan menyebarkan keburukan serta kemungkaran. Firman Allah bermaksdu: “Dan orang yang menuduh wanita yang baik-baik (melakukan zina) kemudian mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali sebatan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang yang fasik.” (Surah an-Nur, ayat 4)

Tidak dapat dinafikan bahawa fitnah atau tuduhan tanpa bukti meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri seseorang sama ada dari aspek kejiwaan atau kemasyarakatan. Kesan itu bukan saja dirasai oleh orang yang dituduh, malah seluruh anggota keluarganya. Lantaran, Islam melarang perbuatan menuduh tanpa saksi hingga hukuman yang dikenakan ke atasnya hampir sama berat dengan hukuman ke atas orang yang melakukan zina.

Penyebaran perbuatan keji juga laluan yang memudahkan anggota masyarakat terjebak dalam kemaksiatan. Ini kerana sesuatu kemungkaran itu, apabila disebarkan akan cepat merebak dan mendorong anggota lain meniru perbuatan sama. Lantaran, tidak wajar disebarkan secara meluas hanya sekadar untuk dijadikan bahan berita tanpa diiringi usaha bersungguh-sungguh untuk membendungnya.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang yang suka agar (berita) perbuatan keji itu tersebar di kalangan orang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah an-Nuur, ayat 19)

Kesungguhan Islam memerangi kemungkaran, khususnya zina yang menjadi punca runtuhnya institusi keluarga, tercemarnya zuriat dan menimbulkan keresahan masyarakat, dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud :

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang daripada kedua-duanya seratus kali sebatan, dan janganlah belas kasihan kepada kedua-duanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang beriman.” (Surah an-Nur, ayat 2)


(PENULIS ialah pensyarah bidang syariah di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor dan boleh dihubungi di wanitajim0@yahoo.com Perbincangan dan soal jawab berhubung artikel Wadah Wanita Islam yang lalu boleh dilayari di http://www.blurty.com/users/wanitajim/)

0 Comments:

Post a Comment



~ C.i.N.t.a...c.U.m.A...B.u.A.t..-.N.y.A ~

~ C.i.N.t.a...c.U.m.A...B.u.A.t..-.N.y.A ~

~ f0fuLaR ke ~

Blogger Template by Blogcrowds