~Kejayaan milik Allah...~

Belajar Bukan Untuk Periksa…

“Perjuangan adalah kesempatan buat orang yang bijak menilai diri…”
Ramai pelajar menganggap bahawa mereka ini menuntut ilmu hanya untuk mendapatkan sijil-sijil yang melayakkan mereka mendapat tempat di pasaran kerja pada masa hadapan. Namun hakikatnya, semua ini merupakan satu perkara yang merugikan mereka jika tanggapan sebegini tidak dikikis. MENUNTUT ILMU/ BELAJAR HANYA UNTUK PERIKSA?

Adakah anda merasakan perkara ini merupakan suatu perkara yang berbaloi? Bagi saya, ianya tidak sama sekali. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

“Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali”.

(Riwayat At-Tarmizi dan Ad-Darim)
Seharusnya kita semua sedar bahawa menuntut ilmu itu seharusnya di ‘istiqamah’ kan sehinggalah ke saat nyawa di hujung halqum. Namun realitinya sekarang ini berbeza. Ramai insan-insan yang dahulunya merupakan seorang pelajar, pelajar yang bijak dan pintar, apabila melangkah ke alam pekerjaan menjadikan diri mereka ini sebagai manusia yang mempunyai ‘mentaliti mangsa’ – suka menyalahkan sesuatu keadaan/ situasi.

“Alah, aku dah kerja, buat apa belajar lagi! Buang masa ja.”

Maka, sebelum menghadapi peperiksaan, saya ingin mengajak kita sama-sama perbetulkan niat kita menuntut ilmu dan berguru selama ini. Perlu diketahui bahawa peperiksaan itu hanya sebagai wasilah (jalan) untuk menguji, setakat manakah kita menguasai sesuatu bidang tersebut.

Dan yang paling penting, niat menuntut ilmu itu perlulah jelas. Kita meletakkan mencapai redha Allah SWT sebagai yang utama, kemudian barulah mencapai kejayaan itu sendiri. Tanpa redha Allah SWT, segala usaha dan perahan otak kita itu hanya sia-sia.

Dan Allah SWT jugalah yang memberikan kejayaan kepada hamba-hambaNya.

Ingat! Belajar bukan untuk peperiksaan tetapi peperiksaan itu hanya sebagai wasilah kepada kejayaan redha Allah SWT, dunia dan akhirat.

Formula Kejayaan Seorang Muslim

Setiap kali mendapat nikmat
Jarang ku sedari itu pemberianMu
Terkadang rasa itu kerana
Segala usaha dan penat lelah ku sahaja


“Yes! Dapat keputusan cemerlang..berbaloi pun usaha aku selama ni.”

Bagi seorang yang tidak jelas niat dan fikrahnya dalam menuntut ilmu, mungkin inilah yang akan terpacul keluar daripada mulutnya apabila mencapai nikmat kejayaan. Merasakan bahawa kejayaannya itu datang daripada penat lelahnya sendiri. Seperti bait-bait yang tersusun di awalnya.

Jarang sekali kita bersyukur…


Bagi seorang Muslim yang jelas niat dan matlamat dalam menuntut i lmu, apabila kejayaan dicapai, maka mereka akan meletakkan kembali kejayaan itu ‘datang dari Allah SWT’. Dan rasa bangga, takbur, sombong dan riak itu akan cuba dilempar ‘berbatu-batu’ jauhnya daripada diri mereka.

Tak ku lupa kepada Allah
Tempat kembali segala masalah

Perlu diketahui bahawa segala apa yang kita kecapi ini merupakan milik Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Munafiqun ayat 8;

” … Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi Rasulnya serta bagi orang-orang yang beriman , akan tetapi orang-orang munafiq itu tidak tahu mengetahui (hakikat yang sebenar)”

Bila dipuji kejayaan kita
Sebenarnya bukan milik kita
Oleh itu sedarlah sentiasa
Semua itu dari Allah SWT

Hati gembira terasa bahagia
Itulah tanda nikmat dariNya
Ingat Allah SWT bersyukurlah padaNya
Wajiblah kita lafazkan Alhamdulillah

Dan dalam realiti kita mengejar kejayaan dunia dan akhirat ini, kita bukan hanya setakat perlu berusaha. Tetapi kita juga perlu ‘meminta’. Apa yang dimaksudkan dengan meminta di sini. Ya! Maksudnya adalah memohon doa kepada Allah SWT. Hal ini kerana Allah SWT sentiasa menerima doa kita dan sentiasa berada hampir dengan hamba-ham baNya yang meminta kepadaNya.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 186, bermaksud;

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanyakan engkau (Wahai Muhammmad) tentangKu, (maka jawablah) sesungguhnya Aku ini hampir, Aku menjawab seruan sesiapa yang berdoa kepadaKu apabila dia berdoa. Maka hendaklah dia menyahut seruan (menunaikan perintahKu) dan beriman kepadaKu mudah-mudah mereka selalu berada di atas petunjuk”

Dan setelah kita berusaha, berdoa, maka kemudiannya kita bertawakal kepada Allah SWT sambil terus-menerus memohon doa kepadaNya. Itulah kejayaan dan resepi seorang Muslim yang jelas matlamat kehidupannya di dunia ini.

Dan bagaimana jika kita ditimpa kegagalan setelah kita melakukan seperti mana di atas?

“La Takhaf Wa La Thazan, InnAllaha Ma’ana”
Jangan kamu sedih dan berkecil hati, kerana Allah SWT bersama-sama kita. Sebagaimana yang selalu kita dengar, kegagalan itu tak bererti kita gagal selama-lamanya. Tetapi di sebalik kegagalan itu, kita harus mencari kekuatan untuk menjadi ‘perangsang’ kepada kebangkitan kita yang seterusnya.

Mungkin, Allah SWT menagguhkan kejayaan kita agar kita menjadi hamba yang mempertingkatkan kesyukuran dan keimana kepadaNya. Dan mungkin juga Allah SWT menangguhkan kejayaan kita untuk kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan. Apapun, dengan syarat mestilah bersyukur…

Jika berjaya kamu bersyukur…

Jika gagal lakukan muhasabah dan lakukan langkah yang teripta dengan lebih tersusun…

Moga kejayaan dan kegagalan tidak mengalpakan kita daripadaNya yang hampir di sisi kita…

Tuhan Tidak Lupakan Kita

Apabila jalan dirasa gelap, ketahuilah sinar cahaya masih jauh perlu dikejar…

Allah SWT itu tidak jauh daripada setiap hambaNya. Yang menjadikan Allah itu jauh daripada kita ialah diri kita sendiri. Hati yang tidak merasai kewujudan dan rahmat Allah serta kefahaman yang tidak betul terhadap agama selalu menjauhkan perasaan manusia daripada Allah SWT.

Sentiasalah bangun, berdoa dan memohon kepadaNya kerana Allah SWT itu suka kepada hamba-hamba yang meminta kepadaNya.

Dan yang paling penting, kejayaan kita itu hakikatnya biarlah menyumbang kepada Islam itu sendiri. Jadikanlah diri kita sebagai hamba-hamba yang bersyukur.

*credit to: iLuvislam*

0 Comments:

Post a Comment



~ C.i.N.t.a...c.U.m.A...B.u.A.t..-.N.y.A ~

~ C.i.N.t.a...c.U.m.A...B.u.A.t..-.N.y.A ~

~ f0fuLaR ke ~

Blogger Template by Blogcrowds